24 June 2009

Rawatan Selepas Bersalin


Mengurut, bertungku, ganggang dan bengkung adalah antara ciri-ciri yang menjadi kemestian bagi masyarakat Melayu dalam menjalankan rawatan selepas bersalin. Ini diikuti dengan rawatan dalaman, iaitu dengan menggunakan jamu. Rawatan ini telah lama diamalkan oleh nenek moyang kita di zaman dahulu.

Tempoh rawatan merangkumi 44 hari salepas bersalin. Ia bertujuan memulihkan kembali organ-organ peranakan dan membentuk kembali posisi badan. Terdapat beberapa jenama produk jamu lengkap selepas bersalin termasuk Mustika Ratu, Nyonya Meneer, Nyonya Rogay, Air Mancur dan lain-lain lagi.

Langkah pertama bagi ibu selepas bersalin adalah untuk diurut sebanyak tiga, lima atau tujuh hari selepas lima hari melahirkan cahaya mata, sebaik-baiknya selepas mandi pagi. Ia bertujuan mengembalikan kesegaran badan dan melancarkan peredaran darah. Urutan ini dituruti dengan bertungku atau ganggang selama 40 hari kerana ia membantu mengeluarkan darah kotor, juga mengelakkan kembung perut.

Kedua ialah dengan satu set jamu selapan (lengkap) sama ada serbuk atau pun berbentuk kapsul atau pil. Selepas bertungku atau ganggang, sedikit tapel atau minyak tapil disapukan pada bahagian perut untuk mendapatkan kesan yang positif. Kemudian, perut dilapikkan dengan secebis kain atau tuala dan kemudian diikat dengan bengkung. Amalkan setiap hari selama 40 hari.

Untuk mendapatkan mata yang kelihatan bersinar, jernih dan bercahaya, pilis disapukan di bahagian dahi sehingga kering. Param gaya baru pula dilumatkan dengan air hangat secukupnya dapat menghilangkan rasa lesu, letih dan sengal-sengal dan melancarkan peredaran darah sehingga mencegah pembengkakan yang menonjolnya pembuluh darah di kaki ibu selepas bersalin. Hendaklah dilumurkan pada bahagian tubuh yang memerlukan.

Param beras kencur pula dilumatkan dengan air dingin secukupnya dan dilumurkan pada sekujur tubuh. Ia dapat mengurangkan rasa letih, lesu dan memberi rasa sejuk pada badan ibu selepas bersalin.

Jamu dan ubat periuk pula dimakan untuk membersihkan sisa-sisa darah kotor di dalam perut, memulihkan kembali tenaga supaya kelihatan berseri dan lebih bermaya dan melancarkan air susu untuk bayi. Minyak telon pula disapu di perut ibu dan bayi selepas mandi, ia bertujuan untuk mengelakkan angin dan kembung perut.

Dari segi pemakanan, ibu dinasihatkan supaya mengelakkan makanan yang sejuk, berminyak dan berempah, dan lebihkan memakan ulam-ulaman yang terbukti berkhasiat. Meminum air kunyit untuk penyembuhan luka boleh diamalakan selama beberapa hari sehingga luka mengering dan sembuh. Selepas dalam hari, ibu digalakkan memakan kapsul, jamu atau ubat periuk yang berkhasiat.